PELABUHAN KLANG: CMA CGM Antoine de Saint Exupery, kapal kontena terbesar dunia, buat pertama kalinya berlabuh di Malaysia hari ini.
Kapal kontena yang lebih panjang daripada empat padang bola dan lebih panjang daripada Menara Eiffel itu memilih pelabuhan Westports di Pelabuhan Klang sebagai destinasi persinggahannya di Asia Tenggara sempena pelayaran sulungnya itu.
Kapal kontena yang berkeupayaan mengangkut 20,600 TEU, iaitu unit bersamaan kontena 20 kaki, itu adalah kapal terbaharu milik syarikat perkapalan Perancis CMA CGM.
Kapal sepanjang 400 meter itu tiba di Pelabuhan Klang dari Pelabuhan Khor Al Fakkan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada jam 3 pagi dan berlabuh di Terminal Kontena 8 (CT8) Wesports pada 6 pagi bagi kerja-kerja pemunggahan kontena.
Ketua Pegawai Eksekutif Wesports Malaysia Sdn Bhd, Eddie Lee, berkata CMA CGM Antoine de Saint Exupery singgah di Westports dalam perkhidmatan FAL 1, iaitu antara laluan laut terpanjang dunia yang menyambungkan Eropah Utara dan Asia yang mengambil masa 84 hari perjalanan dan singgah di 16 pelabuhan.
Beliau berkata, selepas pelayaran sulung itu, CMA CGM Antoine de Saint Exupery akan menjadikan Westports sebagai satu daripada pelabuhan persinggahan dalam perkhidmatan FAL 1 syarikat perkapalan Perancis itu.
Beliau berkata demikian pada majlis meraikan ketibaan CMA CGM Antoine de Saint Exupery di sini hari ini.
Eddie berkata, Westports menjalin hubungan dengan CMA CGM sejak 1998 dan syarikat perkapalan itu kini adalah pelanggan terbesarnya.
“CMA CGM hari ini adalah syarikat kapal kontena ketiga terbesar dunia, manakala Westports pula adalah antara hab transperkapalan mega dan terminal kontena terbesar di Asia Tenggara,” katanya.
Beliau berkata, Westports ketika ini beroperasi menerusi sembilan terminal kontena dengan keupayaan mengendalikan 14 juta TEU dan pihaknya sedang menjalankan kajian teknikal untuk menambah 10 lagi terminal kontena di pelabuhan itu.
“CT10 hingga CT19 akan memiliki keupayaan mengendalikan 16 juta TEU. Ini akan meningkatkan keupayaan Westports mengendalikan 30 juta TEU pada masa depan,” katanya sambil menambah kajian teknikal akan mengambil masa sembilan bulan hingga setahun.
CMA CGM Antoine de Saint Exupery akan belayar ke China awal pagi esok.
Source : Berita Harian